comscore
Tumpuan :
Nasional

Inisiatif Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap mampu rapat jurang digital rakyat Malaysia

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Usaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memperkenalkan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap dilihat berupaya membantu merapatkan jurang digital antara rakyat Malaysia, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya.

Walau bagaimanapun, menurut Chamil, inisiatif yang baik ini akan menjadi lebih efektif sekiranya pakej itu tidak dihadkan kepada golongan B40, veteran, orang kurang upaya (OKU) serta warga emas sahaja tetapi diperluaskan kepada M40 yang berada di ambang B40.

Katanya lagi, pakej berkenaan juga diperlukan oleh golongan itu kerana ia akan membantu mengurangkan kos sara hidup mereka ketika menggunakan kemudahan Internet, antara utiliti yang sangat diperlukan pada masa ini.

“Pakej Perpaduan Jalur Lebar perlu dibuka kepada semua kerana kos jalur lebar masih berada pada tahap tinggi berbanding negara serantau yang lain,” katanya kepada BERNAMA.

Mengenai kriteria pakej itu, Chamil berkata, kontrak dua tahun atau 24 bulan yang akan dialami oleh pelanggan harus diperkenalkan dalam bentuk lebih fleksibel serta diberi kemudahan untuk menamatkan kontrak jika tidak mampu.

Beliau berkata, pelanggan mungkin akan menghadapi situasi mampu pada mulanya kemudian untuk beberapa waktu berubah sebaliknya, dan keistimewaan serta kebebasan untuk menamatkan kontrak tanpa dikenakan sebarang penalti patut diberikan kepada pelanggan.

Chamil juga mencadangkan supaya harga pakej berkenaan diturunkan kepada RM50 sebulan berbanding kadar RM69 sekarang.

Turut sependapat dengan Chamil agar harga pakej itu diperkenalkan pada kadar mampu milik ialah Pengerusi Persatuan Teknologi Nasional Malaysia (Pikom), Ong Chin Seong yang berkata, kajian menunjukkan anggaran kos Internet di Malaysia masih tinggi berbanding negara serantau yang lain.

“Kadar yang paling sesuai untuk ketersambungan Internet peringkat permulaan pada harga RM50 akan menjadi satu kebaikan buat kebanyakan rakyat Malaysia,” kata Ong.

Sementara itu, Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Azmil Mohd Tayeb, berkata RM50 sebulan ialah kadar yang baik dan lebih adil untuk kumpulan sasaran memandangkan waktu agar sukar ketika ini.

Beliau berkata, kumpulan kurang bernasib baik khususnya akan berasakan tekanan, justeru kerajaan harus menyediakan kadar jalur lebar yang lebih murah dengan beberapa bentuk subsidi bersasar, contohnya untuk keluarga B40 dengan anak masih bersekolah.

“Kerajaan boleh melaksanakan pakej perpaduan itu dengan harga RM69 buat masa ini dan menilai maklum balas kumpulan sasar. Jika responsnya tidak begitu memberangsangkan, kadar boleh dikurangkan kepada RM50 atau melengkapkan kadar awal dengan subsidi bersasar.

“Kerajaan dan penyedia perkhidmatan juga perlu meningkatkan usaha untuk membangun dan meluaskan liputan di kawasan luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak supaya lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada program ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), Datuk George Thomas, berkata pakej perpaduan itu satu inisiatif bagus untuk menarik pengguna yang perlu berdaya maju dari segi ekonomi sebagai gaya hidup masa kini untuk meraih punca pendapatan dan pengetahuan.

“Ini ialah langkah ke hadapan – tidak meninggalkan sesiapa pun,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Komunikasi dan Digital mengumumkan pakej berkenaan yang disasarkan kepada golongan B40, veteran, OKU dan warga emas serta dipuji golongan pakar kerana ia program berbaloi dan usaha penting kerajaan dalam mengurangkan jurang digital antara rakyat Malaysia.

Pakej itu meliputi data tanpa had dengan kelajuan jalur lebar sehingga 30 megabit sesaat (Mbps) pada harga hanya RM69 sebulan dan akan mula ditawarkan bermula Mac dengan kontrak langganan selama 24 bulan.

Menurut kenyataan daripada kementerian, harga pakej yang ditawarkan 22 peratus lebih murah berbanding harga pakej semasa dengan spesifikasi yang sama iaitu kira-kira RM89, bermakna rakyat dapat menikmati penjimatan sebanyak RM480 sepanjang tempoh kontrak. – BERNAMA

Loading...
Terkini