KUALA LUMPUR : Langkah kerajaan meneruskan inisiatif pas bulanan My50 dan pelaksanaan program MyWIRA, selari dengan hala tuju agenda pengangkutan mesra rakyat yang diperjuangkan kerajaan.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berpandangan, inisiatif berkenaan memberi kemudahan kepada rakyat dan memartabatkan pengangkutan awam, membuktikan kerajaan prihatin dengan kebajikan rakyat, selaras aspirasi Keluarga Malaysia.
Katanya, Prasarana selaku pengendali pengangkutan awam mengalu-alukan pengumuman belanjawan yang dibentangkan dan menyokong penuh Bajet 2023.
“Dalam bajet yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerajaan memperuntukkan bajet bagi inisiatif pas bulanan My50 yang akan memberikan manfaat kepada hampir 180,000 pengguna.
“Inisiatif My50 adalah pas perjalanan tanpa had bernilai RM50 sebulan untuk penggunaan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana di Lembah Klang,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Prasarana, syarikat itu juga menyokong penuh inisiatif diskaun 50 peratus di bawah program MyWIRA kepada pemegang kad veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kad pesara polis atas penggunaan pengangkutan awam di bawah kendalian Prasarana.
Ketika membentangkan Bajet 2023, Tengku Zafrul antara lain memaklumkan kerajaan akan meneruskan inisiatif pas bulanan My50 tahun depan bagi membantu mengurangkan kos pengangkutan penduduk Lembah Klang yang menggunakan perkhidmatan rel dan bas.
Menerusi inisiatif My50 dalam Bajet 2023 itu, sekitar 180,000 pengguna boleh menikmati penjimatan kira-kira RM150 sebulan atau RM1,800 setahun.
Inisiatif MyWIRA pula dijangka memanfaatkan kira-kira 21,000 pemegang kad veteran ATM dan kad pesara polis di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Pulau Pinang. -BERITA HARIAN