KUALA LUMPUR : Seramai 2,863 individu disaring menerusi tujuh program MADANI Afiat, menurut Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
Melalui saringan itu, katanya, jumlah penyakit paling tinggi dikesan ialah hipertensi iaitu 1,041 orang atau 36.36 peratus, diikuti 771 orang dikesan mendapat diabetes (26.93 peratus), 695 individu berisiko mendapat hipertensi (24.28 peratus) dan 417 orang berisiko mendapat diabetes (14.56 peratus).
“2,863 penduduk berusia 18 tahun ke atas telah disaring melalui aktiviti saringan kesihatan dari rumah ke rumah yang dilaksanakan di Selangor, Kedah, Terengganu, Johor, Perak, Melaka dan Pulau Pinang,” katanya.
Ujar beliau, sempena Karnival Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani, sebanyak 380 rumah lagi akan disaring.
“Saringan itu akan merangkumi Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kampung Muhibbah, PPR Raya Permai, PPR Bukit Jalil dan Apartment Kuchai Lama.
KKM turut mendapat kerjasama daripada persatuan penduduk Salak Selatan dan saringan secara besar-besaran akan dilakukan di Dewan Komuniti Salak Selatan.
“Di dewan berkenaan, kita juga sediakan perkhidmatan pemberian imunisasi COVID-19 bagi mereka yang masih belum mendapatkannya, selain memyediakan saringan pengesanan awal kanser serviks (HPV),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Flag Off Mobiliasasi Madani Afiat dan Ujian Saringan Kesihatan, hari ini.
Program MADANI Afiat hari ini akan membabitkan 135 jururawat dan 50 pegawai farmasi yang menjalankan saringan kesihatan di kawasan sekitar kuala lumpur.
Saringan kesihatan itu bertujuan mengesan dan mencegah risiko penyakit tidak berjangkit.