Tumpuan :
Nasional

Inisiatif kelas hibrid terima maklum balas positif, KPM cadang perluas kepada 400 sekolah

Foto hiasan

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) merancang memperluas kelas hibrid daripada 110 buah sekolah kepada 400 buah sekolah, mulai tahun hadapan.

Inisiatif peluasan itu bakal membabitkan peruntuka sebanyak RM 340 juta.

Timbalan Menteri, Wong Kah Woh berkata penambahan kelas hibrid itu bukan saja tertumpu di sekolah dalam kawasan bandar, malah pihaknya turut mengenal pasti sekolah di luar bandar bagi memastikan tiada sesiapa tertinggal dalam aspek pembelajaran.

“Secara umumnya KPM mendapat maklum balas positif daripada guru, di mana terdapat permintaan untuk tambahan kelas dan cadangan penambahbaikan, tambahan latihan penggunaan secara berkala dan penambahbaikan dari segi aspek keselamatan peralatan dalam kelas.

“Ia juga akan diseragamkan di 15 lokasi termasuk pusat sumber, bilik pentadbiran dan kelas hibrid. Ini adalah rangkaian internetnya.

“Projek ini merangkumi tiga skop utama iaitu pendawaian elektrik, RM 20 juta peruntukan disediakan, peranti (RM 153 juta) dan peruntukan untuk rangkaian Internet sebanyak RM 167 juta,” ujarnya di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambahnya, hasil maklum balas guru, ada yang mencadangkan supaya diwujudkan lebih banyak video pengendalian dan pengguna kemudahan agar boleh memudahkan guru mengendalikan peralatan serta kemudahan disediakan.

Untuk itu, beliau berkata KPM akan terus berusaha menyokong usaha berkenaan dengan menambah baik keperluan dari segi latihan, infrastruktur, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), capaian internet dan keselamatan kelas hibrid.

Projek rintis kelas hibrid 110 sekolah terpilih melibatkan 550 kelas, bagi mengupayakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka dan digital pada masa yang sama.

Ujarnya melalui program ini, pakar daripada pelbagai negara dapat dilibatkan bagi meningkatkan kualiti penyampaian pendidikan dalam kalangan guru dan murid.

Ia secara tidak langsung juga dapat menyelesaikan isu kekurangan guru bagi satu-satu subjek di sesetengah sekolah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini