Tumpuan :
Nasional

Inisiatif Jendela Fasa 1 perlu beroperasi segera- Fahmi Fadzil

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ditemui media selepas menghadiri Majlis Tower Xchange Meetup Asia 2024 di Kuala Lumpur.

Oleh: Suzila Idayu Yaacob

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi mahu inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 beroperasi mengikut jangka masa ditetapkan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata walaupun kebanyakan menara telah siap dibina tetapi masih terdapat menara yang belum diaktifkan oleh syarikat telekomunikasi terlibat.

“Untuk Jendela Fasa 1, kami mempunyai lebih daripada 1,600 menara. Tidak semuanya telah diselesaikan. Tidak semuanya diaktifkan. Jadi sasaran kami adalah…ia seharusnya sudah siap pada bulan lalu. Tetapi ia tidak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Tower Xchange Meetup Asia 2024 di Kuala Lumpur.

Bagi Jendela Fasa 2 pula, beliau bertegas, proses pelaksanaan akan dirangka semula termasuk perancangan dari aspek rekaan rangkaian.

Ia selepas mengambil kira teknologi baru muncul seperti “Direct to Device” atau D-to-D.

Jendela Fasa 2 dijangka membabitkan antara 2,500 hingga 3,000 menara dan pelaksanaanya akan lebih mencabar.

Menerusi program Jendela, kerajaan berhasrat untuk memastikan liputan dan kualiti perkhidmatan komunikasi dapat dicapai.

Ketika ini liputan di kawasan berpenduduk mencapai 98.2 peratus dengan baki liputan 1.8 peratus lagi perlu disegerakan dalam usaha menyelesaikan isu jurang digital dalam kalangan rakyat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini