Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Sesi libat urus akan datang di antara Pasukan Petugas Khas bersama syarikat Touch ‘n Go (TnG) bakal memberi tumpuan kepada pelan tindakan yang jelas.
Ia terutama dari segi tempoh masa yang ditetapkan dan aktiviti secara lebih terperinci.
Ini kerana, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berpandangan inisiatif yang diambil oleh pihak syarikat TnG dalam tempoh seminggu yang diberikan dari sesi libat urus pertama pada 25 Januari lalu, masih belum mencukupi.
KPDN dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menerima maklum balas berhubung tindakan segera diambil syarikat TnG daripada isu yang telah dibangkitkan sebelum ini.
“Berhubung isu kekurangan kad TnG, syarikat telah membuat penambahan bilangan kad sehingga 3.5 juta pada tahun ini berbanding 2.68 juta kad pada tahun lalu.
“Syarikat TnG telah mengambil tindakan dengan menghantar pro aktif atau peringatan pra tamat tempoh kepada pengguna TnG termasuk e-mel pemakluman juga dihantar sebulan sebelum kad tamat tempoh bagi mengatasi isu berkaitan notifikasi kad tamat tempoh. Notifikasi melalui aplikasi e-wallet dan semakan tarikh juga telah dicetak di belakang kad,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan berkata, Pasukan Petugas Khas yang diketuai Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof ditubuhkan bertujuan meneliti aduan rakyat berhubung perkhidmatan TnG.
Susulan itu, sesi libat urus pertama pada 25 Januari lalu antara lain membincangkan lapan masalah dan memberi tempoh masa seminggu kepada pihak TNG untuk menghasilkan pelan tindakan seterusnya.
Mengulas lanjut, kenyataan tersebut memaklumkan, pihak TnG akan meneliti dan melaksanakan proses bayaran balik dengan kadar segera kepada pengguna setelah syarikat konsesi melakukan siasatan, pengesahan serta kelulusan bagi mengatasi isu pemulangan dan bayaran balik baki kad.
Pihak TnG juga telah membuat penambahbaikan komunikasi dan pencerahan penggunaan kad visa TnG untuk mengelakkan kekeliruan pengguna dengan mempamerkan notifikasi ‘This is Not TnG Card’ sebelum permohonan dilakukan.
“Syarikat TnG telah mengambil tindakan segera dengan menghantarkan notis rasmi kepada platform e-dagang bagi menurunkan semua iklan penjualan produk TnG yang tidak berdaftar.
“Notis rasmi juga telah dihantarkan kepada pengendali syarikat minyak, peruncitan dan pengedar sah bagi memastikan mereka mengikuti harga yang ditetapkan termasuk kawalan penjualan satu kad untuk setiap pelanggan,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, KPDN akan terus memantau dan memastikan isu yang dibangkitkan diselesaikan segera demi kesejahteraan rakyat.