PUTRAJAYA: Inisiatif Baucar Buku MADANI yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun lalu berjaya mencapai sasaran penebusan 100%.
Ia memberi manfaat kepada lebih 3.5 juta pelajar di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
Perkembangan itu dimaklumkan KPM menerusi catatan di Facebook.
Sejumlah RM286 juta digunakan untuk menebus lebih 7.8 juta naskhah bacaan.
KPM beriltizam untuk sentiasa menggalakkan amalan membaca dalam kalangan pelajar dengan matlamat untuk melahirkan generasi berilmu dan menjadi aset masa hadapan dalam membangunkan Malaysia MADANI.
Inisiatif itu membenarkan pelajar terlibat memilih buku pilihan mereka.
Baucar Buku MADANI dibuka sejak 31 Mei 2024 dan berakhir pada 31 Disember 2024.
Penerima membabitkan murid sekolah rendah tahap dua atau tahun 4 dan ke atas menerima baucar RM50.
Manakala murid sekolah menengah dan pelajar lepasan menengah seperti kolej tingkatan 6, kolej vokasional, kolej matrikulasi serta pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) menerima baucar RM100.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.