Tumpuan :
Nasional

“Ini perjumpaan kali terakhir”, ungkapan berulang Faisol kepada kakak

Noryani Tamadun, 50 tidak menyangka ungkapan yang diulangi berkali-kali oleh Pegawai Waran II, Muhammad Faisol Tamadun, 36 menjadi petunjuk akhir pemergiannya.

Oleh: Kumaran Rajamoney

SIK: “Ini adalah menu terakhir saya jamah, ini adalah perjumpaan terakhir kita”.

Noryani Tamadun, 50 tidak menyangka ungkapan itu yang diulangi berkali-kali oleh Pegawai Waran II, Muhammad Faisol Tamadun, 36 menjadi petunjuk akhir pemergiannya.

Hatinya luluh, apabila menerima perkhabaran adik bongsu dari empat beradik itu pergi selamanya hari ini dalam nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pagi tadi.

“Arwah yang kami panggil Adik sangat manja dengan saya. Dia berpesan kepada saya untuk menyediakan masakan kegemarannya ketika berkunjung untuk berhari raya baru-baru ini terutamanya ayam masak kicap, dan kuih siput.”

“Ketika menjamah makanan, dia ungkap yang ianya makanan terakhir di rumah saya. Begitu juga ketika bergambar dan berpeluk. Saya menegur Adik untuk tidak mengulangi ungkapan itu, tapi dia kata ianya sekadar gurauan,” katanya.

Muhammad Faisol juga telah berpesan kepada kakaknya untuk hadir pada Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-90 awal bulan depan.

Arwah katanya berjanji untuk kembali ke Sik selepas bersara dua tahun lagi, dan mahu kekal menetap di rumah pusaka keluarga.

Namun, tidak disangka hajat adiknya tidak kesampaian dan bakal disemadikan di samping ibu dan bapanya di Tanah Perkuburan Islam Sik Dalam di sini.

“Ibu dan ayah kami baru meninggal dunia tahun lalu. Arwah dijangka akan kembali bertugas di Lumut hujung tahun ini, selepas itu dua tahun lagi dia akan pencen dan mahu tinggal di rumah peninggalan orang tua di Kampung Tanah Hitam.”

“Rumah itu memang arwah ayah beri kepada adik, dia kata nak buat homestay dulu sebelum dia pencen,” katanya yang menjual nasi lemak.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak perempuan berusia 10 dan enam tahun.

Seramai 10 orang dilaporkan maut dalam nahas dua buah helikopter milik TLDM terhempas di Pangkalan TLDM, Lumut, pagi ini.

Kedua-dua helikopter yang bertembung di udara dan terhempas di situ dilaporkan sedang menjalani Latihan raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.

Berdasarkan laporan, dua helikopter yang terdiri model HOM dan Fennec telah berlepas dari Padang Sitiawan pada 9.03 pagi tadi.

Bagaimanapun, berlaku pelanggaran di udara sebelum masing-masing terhempas di tangga Stadium Pangkalan TLDM dan berdekatan kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini