Tumpuan :
Nasional

Industri permainan digital rekod RM45 juta hasil jualan, eksport

Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

KUALA LUMPUR: Industri permainan digital merekodkan hasil jualan dan eksport sebanyak RM45 juta melalui dana disediakan kerajaan.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, sehingga kini sejumlah 60 projek diluluskan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia MDEC dengan jumlah keseluruhan dana RM36.7 juta sekaligus mewujudkan lebih 700 peluang pekerjaan.

Menurut beliau sejak 2014 hingga 2024, MDEC telah menerima peruntukan dana kandungan digital sebanyak RM163 juta bagi menjalankan dan menyelia bantuan kewangan kepada industri animasi, permainan digital,komik digital dan juga kandungan teknologi kreatif.

Berdasarkan perkembangan ditunjukkan, industri digital mempunyai potensi besar untuk dimajukan samada di peringkat serantau mahupun global.

“Bagi meningkatkan promosi dan pemasaran permainan digital tempatan, MDEC juga telah menyediakan platform dan peluang bagi syarikat-syarikat untuk meneroka akses pasaran.

Antara pasaran permainan digital yang sering disertai termasuk Games Developer Conference di Amerika Syarikat, Tokyo Game Show di Jepun, China Joy di China, Gamescom di Eropah dan lain-lain”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkenaan permainan digital tempatan yang telah menerima dana daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, MDEC sejak 2014 hingga kini.

Menurut Gobind , syarikat permainan digital juga berpeluang mempromosikan produk mereka serta menjalinkan hubungan perniagaan dengan penerbit dan pengedar permainan digital di pelbagai peringkat.

Ia termasuk acara tempatan dan antarabangsa seperti Jelajah Saya Digital, Malaysia Digital Content Festival, Comic Fiesta dan sebagainya.

Malaysia Digital Content Festival misalnya merupakan acara tahunan penting bagi rangkaian perniagaan industri kandungan digital di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini