comscore
Tumpuan :
Nasional

Industri lebih sesuai teraju latihan TVET – MEF

Foto hiasan

PETALING JAYA: Persekutuan majikan menggesa industri menerajui pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET) demi memastikan graduan mempunyai kemahiran menepati keperluan pekerjaan.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Syed Hussain Syed Husman berkata, pengajar TVET kurang latihan praktikal dan pengalaman dalam industri, justeru ada keperluan melakukan kerjasama rapat dengan rakan industri, dan latihan praktikal perlu dilakukan di tempat kerja.”

Sistem Latihan Dual Nasional yang diperkenalkan pada 2005, ketika ini menetapkan 70-80 peratus latihan praktikal dilakukan di tempat kerja dengan baki 20-30 peratus di institusi teknikal.

Ia bertujuan membangunkan kemahiran menerusi skim perantis TVET berstruktur yang dijalin bersama industri, yang dimulakan dengan syarikat berkaitan kerajaan.

Syed Hussain berkata, peruntukan RM6.7 bilion dalam Belanjawan 2023 menyumbang peningkatan dalam latihan teknikal dan vokasional, namun lebih banyak lagi perlu dilakukan kerajaan.

“Peralatan di institusi TVET awam perlu dinaik taraf untuk membolehkan pelajar merasai pengalaman peralatan dan mesin baharu di institusi TVET sendiri,” katanya.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), William Ng berkata, kekurangan kakitangan teknikal berkemahiran terutama juruteknik dan jurutera, menjejaskan banyak perniagaan kecil.

Ng menyeru lebih banyak dana diperuntuk untuk meningkatkan kualiti keseluruhan institusi TVET untuk memenuhi permintaan buruh berkemahiran. Katanya, majikan lebih mengutamakan menggaji graduan TVET kerana mereka mempunyai pengetahuan praktikal.

“Kami juga mencadangkan kerajaan membiayai bersama yuran TVET dengan PKS terpilih supaya pelajar B40 mampu mengikuti kursus,” katanya.

Beliau berkata, pembiayaan bersama membolehkan peralihan lancar pelajar B40 daripada pendidikan ke pekerjaan, sekali gus menangani kekurangan buruh berkemahiran dalam PKS. – FMT

Loading...
Terkini