![](https://media.buletintv3.my/2025/02/EYhhFrw5-TEMPLATE-CMS.pptx.zip-1.jpeg)
KUALA LUMPUR: Pemergian pelakon veteran, Allahyarham Roslan Saleh, 68, dalam tidur, pagi semalam cukup membekas di hati bukan sahaja dalam kalangan ahli keluarga, malah rakan industri.
Antaranya adalah penerbit terkenal, Datuk A Aida yang sudah mengenali Roslan atau lebih dikenali Pak Lan sejak lebih tiga dekad lalu.
Mengulas pemergian Allahyarham, A Aida menyifatkan satu kehilangan besar buat industri perfileman tanah air berikutan komitmen ditunjukkan arwah terhadap kerja seninya.
“Nak cakap pun saya rasa sebak. Industri filem kehilangan pejuang seni berbakat dan baik hati. Beliau suka menyokong rakan-rakan seperjuangan lain.
“Saya mengenali beliau lebih 30 tahun. Beliau amat komited dengan kerja, berdisiplin dan semua hasil kerjanya sangat bagus.
“Beliau juga sangat menepati masa. Kalau ‘call time’ jam 8 pagi, sejam sebelum sudah ‘terpacak’ di lokasi. Apa yang bagusnya, beliau datang dalam keadaan sudah bersedia.
“Arwah tidak seperti segelintir artis sampai set barulah nak tanya babak apa akan dilakonkan. Dengan arwah, saya tak perlu risau sebab beliau sudah tahu apa yang nak dilakukan.
“Malah, arwah akan panggil artis untuk berlatih bersamanya sebelum penggambaran bermula. Komitmen ditunjukkan sangat bagus.
“Arwah banyak berlakon di bawah produksi saya. Pasti nama arwah tidak tercicir dalam senarai setiap kali ada watak sesuai. Kiranya, arwah memang pelakon kegemaran saya, sama seperti Datuk Fauziah Nawi, Fathil Dani, Mubarak Majid dan Allahyarham Idris Mat Diah,” katanya kepada BH Online.
![](https://media.buletintv3.my/2025/02/Dk5RwU4f-TEMPLATE-CMS.pptx.zip-2.jpeg)
Berkongsi sifat dimiliki arwah, A Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang berkata, arwah cukup disenangi kerana keperibadiannya yang disifatkan sangat baik.
“Arwah adalah insan teramat baik buat saya. Hormat dan tak pernah menyakiti hati orang lain.
“Selalu gembira dan sering mengukir senyuman. Tak nampak langsung ada masalah.
“Beliau juga pandai mengambil hati orang. Tak pernah ada perkataan terkeluar daripada mulutnya yang boleh menyakitkan hati. Arwah juga sangat positif,” katanya.
Bagaimanapun, Allahyarham Roslan tidak lagi aktif dalam dunia lakonan selepas mengalami masalah kencing manis kronik dan dia hanya terlantar di rumah sejak beberapa tahun lalu.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir dalam tidur di kediamannya di Masjid Tanah, Melaka kira-kira jam 7 pagi semalam. Beliau juga mempunyai pelbagai komplikasi penyakit.
Isterinya, Zainun Majid berkata, arwah meninggal dunia dalam tidur.
Jenazah arwah disolatkan di Masjid Ar Rahman Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah, Melaka dan disemadikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rantau Panjang, semalam.
Roslan meninggalkan seorang balu, tiga cahaya mata dan 10 cucu.
Sebelum ini, media melaporkan kesihatan Roslan merosot akibat penyakit diabetes kronik, lima tahun lalu.
Sepanjang lebih tiga dekad berada dalam dunia seni, Roslan pernah membintangi banyak drama dan filem popular. Antaranya, Sembilu 2, Gerak Khas The Movie 2, Munafik 2 dan Anak Perjanjian Syaitan, manakala Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda adalah filem terakhir lakonannya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.