Tumpuan :
Nasional

Industri biojisim dijangka jana RM17 bilion menjelang 2030

Menteri perladangan dan komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sewaktu menjawab soalan Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli di Dewan Rakyat.

Oleh: Siti Khadijah Jaafar.

KUALA LUMPUR: Industri biojisim menerusi sektor agrikomoditi berasaskan sisa sawit dijangka mampu menjana ekonomi bernilai RM17 bilion selain pelaburan RM7 bilion menjelang 2030.

Menteri perladangan dan komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia turut akan mewujudkan 33,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor berkenaan.

Ia merangkumi industri penghasilan biopelet, penjanaan tenaga daripada biojisim, pulpa dan kertas, karbon terawat dan penghasilan biobaja.

Tambah beliau, kementerian melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) secara konsisten melaksanakan pelbagai aktiviti kajian dan penyelidikan (R&D) dalam teknologi hijau.

Ia bagi mengenal pasti bahan sisa sawit yang sebelum ini dianggap sebagai bahan buangan untuk diintegrasikan semula ke dalam nilai rantaian sejajar dengan konsep ekonomi kitaran.

“Sebagai contoh, empty fruit bunch (efb), mesocarp fibre dan palm kernel shell merupakan sisa biojisim sawit yang boleh menjana tenaga boleh diperbaharui. Bahan sisa ini akan dibakar di dalam dandang (boiler). Wap yang dihasilkan akan menggerak turbin untuk menjana tenaga elektrik yang dapat dimanfaatkan semula dalam kilang sawit yang disediakan tnb”, katanya.

Selain itu, proses penghasilan minyak sawit mentah (CPO) di kilang sawit akan menghasilkan air buangan yang dikenali sebagai efluen kilang minyak sawit atau palm oil mill effluent (POME).

“POME pula akan melepaskan gas metana. Kilang-kilang sawit dapat membangunkan infrastruktur untuk memerangkap biogas daripada POME untuk mewujudkan tenaga boleh diperbaharui. Sisa yang tertinggal selepas proses pemerangkapan biogas juga boleh dijadikan bahan untuk menghasilkan biobaja. Selain itu, EFB dan oil palm trunk dapat dimanfaatkan sebagai bahan sungkupan yang boleh menambah baik keadaan tanah di ladang”.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli yang ingin tahu berkenaan inisiatif memanfaatkan biojisim daripada sektor agrikomoditi bagi mencipta peluang pekerjaan baharu kepada anak muda selain menggalakkan amalan ekonomi kitaran untuk mengelakkan bahan buangan dibazirkan menjadi gas rumah hijau (GHG.).

Dalam perkembangan lain, Johari memaklumkan, Kerajaan bercadang memberikan insentif kepada penternak ayam yang menggunakan makanan ternakan daripada sisa sawit sebagai makanan tambahan bagi haiwan ternakan mereka.

Ia sebagai usaha bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada makanan ternakan import.

“Kita encourage mereka menggunakan bahan sisa ini sebagai makanan tambahan kepada yang dibeli daripada luar negara seperti orn dan soya bean. Yang itu memang makanan asas kalau kita cerita tentang penternakan ayam jadi apa yang kita nak buat kita bagi insentif supaya kalau dia pakai lima hingga 10 peratus daripada bahan ini, dia akan dapat insentif dari segi pengeluaran ayam ini dan kita mungkin akan nak galakkan”.

Tambah beliau, sekiranya penerimaan ini dilaksanakan secara meluas dalam negara, kebergantungan terhadap makanan import ternakan ayam dapat dikurangkan kerana menggunakan asas dari kelapa sawit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini