Tumpuan :
Nasional

Individu mengaku pemilik wang RM500,000 dalam bagasi masih belum tampil – Polis

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan. -Foto fail NSTP.

SHAH ALAM: Pihak yang mendakwa pemilik wang lebih RM500,000 yang ditemui dalam bagasi di tempat letak kenderaan sebuah pusat beli belah di Damansara minggu lalu, masih belum tampil untuk memberikan keterangan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berkenaan sebelum ini memaklumkan akan tampil hari ini untuk memberikan keterangan termasuk bukti bahawa wang berkenaan milik syarikatnya kepada polis.

“Belum (tampil beri keterangan). Dia janji nak datang hari ini tapi belum nampak kelibat,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Media sebelum ini melaporkan polis menerima laporan daripada sebuah syarikat teknologi maklumat yang mendakwa bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 dalam bagasi yang ditemui itu milik mereka.

Bagasi berwarna merah jambu dan putih bersaiz sederhana itu ditemui seorang pengawal keselamatan kira-kira jam 8 pagi 20 Mac lalu, sebelum dimaklumkan kepada pihak polis.

Dalam pada itu, Datuk  Hussein menegaskan sesiapa sahaja yang mahu menuntut wang berkenaan boleh tampil, namun perlu mengemukakan bukti untuk mengesahkan pemilikan.

Seandainya tiada pihak yang menuntut, beliau berkata pihak polis akan melakukan prosedur pelupusan harta tidak dituntut sewajarnya.

“Kami tidak kisah jika anda hendak datang atau tidak (untuk tuntut wang berkenaan)…. kita akan bagi tempoh mencukupi.

“Cuma (sebelum ini) dia dah beritahu yang itu (wang) milik syarikatnya, tapi dia tidak datang untuk beri bukti yang wang berkenaan miliknya,” katanya.

Mengulas pelupusan harta yang tidak dituntut, Datuk Hussein berkata, terdapat prosedur bagi tujuan itu antaranya mengiklankan dalam media bagi tempoh masa tertentu sebelum tindakan pelupusan boleh dilakukan sekiranya tiada tuntutan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini