
KUALA LUMPUR: Pihak polis memberi amaran kepada individu yang membuat laporan palsu bakal berdepan tindakan tegas dan kemungkinan berakhir di sebalik tirai besi.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail memberi amaran itu susulan ada individu tidak bertanggungjawab membuat laporan palsu hanya kerana kehilangan kad pengenalan, MyKad mereka.
“Orang ramai perlu beringat supaya tidak membuat laporan palsu kerana ia merupakan satu kesalahan yang boleh didakwa di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan (memberi maklumat palsu).
“Jadi bila buat laporan polis, kena beringat, laporan yang dibuat ini tidak boleh palsu, kerana ada beberapa kes dia kata kena samun lah, kena ragut, tetapi bila kita siasat, tak ada.
“Bila kita soal siasat lanjut, rupanya sebab kehilangan IC (MyKad), jadi dia buat laporan sebab tak mahu bayar denda,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Program Jom Ronda IPD Wangsa Maju di Dewan Komuniti PPR Hiliran Ampang, blok B dan C, di sini, semalam.
Mohamad Lazim berkata, pihaknya memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu walau apa pun alasannya.
Katanya, jika disabitkan kesalahan, individu berkenaan boleh dipenjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.