
SYDNEY: Malaysia menyekat sementara import lembu dan kerbau hidup dari Australia selepas penyakit kulit berketul atau LSD dikesan dalam kalangan ternakan terbabit.
Kerajaan Australia berkata tindakan itu menyusuli keputusan sama dibuat oleh Indonesia minggu lalu selepas mengesan LSD pada haiwan yang diimport.
Australia sedang bekerjasama dengan Malaysia bagi menarik balik sekatan berkenaan dan mengesahkan negara itu bebas daripada ancaman LSD, kata ketua pegawai veterinar Australia, Mark Schipp, semalam.
“Kami faham keputusan ini adalah berdasarkan ketetapan Indonesia bahawa mereka tidak akan menerima eksport lembu dibekalkan pengeksport tertentu berikutan pengesanan LSD pada lembu dari Australia yang tiba di Indonesia buat tempoh tertentu,” kata Schipp.
Indonesia, pasaran eksport terbesar lembu hidup Australia, minggu lalu mengenakan sekatan walaupun pegawai veterinar cuba menghapuskan kerisauan mereka dengan melakukan lebih banyak ujian terhadap eksport ternakan.
Schipp berkata jabatannya sedang berusaha untuk menyelesaikan siasatan berhubung status lembu yang terjejas dan menegaskan Australia adalah bebas LSD dan eksport lembu hidup ke Indonesia masih diteruskan dari fasiliti yang tidak terjejas.
LSD, yang menyebabkan lepuhan pada kulit lembu dan mengurangkan penghasilan susu, adalah penyakit viral yang amat mudah menjangkiti lembu serta kerbau, menerusi gigitan serangga, namun tidak membahayakan manusia.
Australia tidak menyatakan jumlah eksport yang terjejas susulan keputusan Malaysia. – REUTERS