Tumpuan :
Nasional

Imigresen Terengganu akan gempur kawasan tumpuan warga asing

KUALA TERENGGANU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu akan menggempur kawasan panas yang menjadi tumpuan warga asing di seluruh negeri itu.

Pengarahnya, Azhar Abd Hamid berkata, pegawai penguat kuasa sudah mengenal pasti semua kawasan panas yang menjadi tumpuan warga asing terutama pada cuti umum di seluruh negeri.

Katanya, pemantauan dilakukan secara berkala termasuk hasil maklum balas orang ramai.

“Pemantauan dilakukan mendapati warga asing keluar untuk membeli belah pelbagai barangan dan berjumpa bersama rakan senegara yang bekerja di tempat lain di kawasan berkenaan pada setiap cuti mingguan.

“Kita sedang mengumpul maklumat jumlah sebenar warga asing yang masuk dan bekerja di negeri ini secara sah dan juga tanpa sebarang dokumen yang sah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai kebanjiran warga asing terutama pada cuti Tahun Baru Cina (TBC) pada Sabtu dan Ahad lalu, Azhar mengesahkan ada menerima maklumat mengenai ratusan warga asing membanjiri beberapa lokasi di negeri ini.

“Kita tidak berdiam diri…hasil risikan serta pemantauan dilakukan kita sudah mengenal pasti tempat tinggal dan tempat kerja warga asing berkenaan.

“Kita akan menggempur lokasi berkenaan dalam operasi berskala besar dalam tempoh terdekat,” katanya.

Azhar turut mengesahkan pegawai penguat kuasa JIM negeri sentiasa mengadakan operasi, tetapi hanya membabitkan skala kecil termasuk di bengkel mencuci kenderaan serta kedai perabot.

Dalam perkembangan lain, Azhar mengingatkan 712 majikan yang membuat pendaftaran pekerja asing di bawah program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK 2-0) untuk melakukan pengecaman sistem biometrik.

Setakat ini, katanya, hanya 3,392 warga asing yang didaftarkan di bawah program RTK sudah melakukan pengecaman sistem biometrik.

“Kita mengingatkan majikan agar tidak menunggu tarikh akhir untuk membawa 3,463 warga asing yang sudah didaftarkan di bawah program RTK melakukan pengecaman sistem biometrik,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini