KOTA BHARU: Seramai 56 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan dalam Operasi Penguatkuasaan di sekitar bandar Kota Bharu dan Machang, semalam dan hari ini.
Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Pengurusan), Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman, berkata mereka yang ditahan membabitkan 48 lelaki warga Bangladesh, 4 lelaki dan 3 wanita warga Indonesia, serta seorang lelaki warga Nepal.
Katanya, Ops Mahir/ Sapu/ Dandan yang bermula 11 pagi tadi dijayakan dengan kekuatan seramai 18 pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasaan imigresen JIM Kelantan.
“Hasil risikan yang dilakukan, kita membuat pemeriksaan terhadap warga asing di sekitar bandar Kota Bharu iaitu antaranya di beberapa premis di Kampung Kok Pasir, Kampung Tempoyak, Kampung Beting Lebar Kemumin Kota Bharu, serta Kampung Merbau Chondong, Pulai Chondong, Machang.
“Kesemua Pati yang berusia di antara 23 hingga 50 tahun itu ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, JIM Kelantan menggesa supaya orang ramai tampil menyalurkan maklumat tentang Pati atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudahcara dan bersubahat dalam melindungi Pati,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.