comscore
Tumpuan :
Nasional

Imigresen Sabah hantar pulang 377 PATI warga Filipina

Seramai 377 PATI warga Filipina dihantar pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan. -FOTO: Jabatan Imigresen

KOTA KINABALU: Seramai 377 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dipindahkan melalui Pelabuhan Sandakan ke negara asal, semalam.

Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin itu dijalankan menggunakan pengangkutan laut terus ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.

Pengarah Imigresen Malaysia (JIM), Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pemindahan kali ini membabitkan seramai 241 lelaki dan 95 wanita.

Turut dihantar pulang 33 kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia 12 tahun ke bawah serta lapan bayi.

“Ini adalah program pemindahan siri ke-18 untuk kategori Usir melalui laut bagi tahun 2024 ke negara asal masing-masing menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia 1.

“Semua PATI berusia lingkungan 11 bulan hingga 71 tahun ini melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

SH Sitti Saleha berkata, pemindahan kali ini juga hanya membabitkan tahanan warga Filipina dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Sandakan.

Katanya, hingga kini seramai 4,800 tahanan warga Filipina sudah dihantar balik dan menjadikan jumlah keseluruhan PATI dihantar pulang mencecah 6,829 orang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini