comscore
Tumpuan :
Nasional

Imigresen Pulau Pinang bongkar aktiviti GRO, bekerja tanpa pas sah

FOTO: JIM

GEORGE TOWN: Aktiviti tidak bermoral warga asing disyaki yang menawarkan perkhidmatan gadis pelayan pelanggan atau GRO terbongkar selepas pusat hiburan yang terletak di sini diserbu Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Pulau Pinang, kelmarin.

Dalam serbuan jam 10 malam itu, empat wanita warga Thailand dan seorang Vietnam ditahan ketika leka melayani pelanggan di pusat hiburan berkenaan.

JIM Pulau Pinang menerusi kenyataannya memaklumkan, semua wanita terbabit berusia antara 20 hingga 30 tahun.

Katanya, pemeriksaan mendapati semua yang ditahan masuk sebagai pelancong dan diberi pas lawatan sosial.

“Semua mereka ditahan kerana disyaki melanggar syarat pas.

“Siasatan ke atas pemilik pusat hiburan terbabit dilakukan dan dikenakan tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada jika terbukti terdapat elemen kesalahan,” menurut kenyataan itu di sini, semalam.

Sementara itu JIM berkata, sebuah restoran dan bar terletak di Bayan Lepas turut diserbu dalam masa yang sama.

Katanya, seramai lima lelaki warga Myanmar berusia antara 25 hingga 40 tahun ditahan kerana disyaki bekerja di premis terbabit dengan tidak memiliki dokumen perjalanan dan pas yang sah.

“Kesemua tangkapan ditahan di Depot Imigresen Juru bagi siasatan dan tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini