![](https://media.buletintv3.my/2025/02/0drADuLJ-BULETIN-TV3-AD-79.jpg)
Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan melakukan pemeriksaan di bazar Ramadan bagi mengelakkan isu peniaga warga asing.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pelaksanaan itu akan melibatkan pihaknya di seluruh negara.
“Ya, termasuk juga bazar-bazar dan sebagainya, kita akan lakukan pemeriksaan. Semua ini nanti termasuk bahagian pemeriksaan di negeri-negeri oleh pejabat pemeriksaan negeri.
“Kita akan susun semua jadual-jadual pemeriksaan dan sebagainya. Mereka akan laksanakan,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Peluncuran Inspektorat Penguatkuasaan di Kompleks Nasyrul Quran hari ini.
Selain itu katanya pemeriksaan itu juga akan dilakukan secara berkala dan tidak semestinya di lokasi tumpuan sahaja.
“Saya kalau boleh, saya tetapkan pada pasukan pemeriksaan ini untuk pergi ke segenap tempat. Bukannya fokus pada satu-satu tempat.
“Namun kita akan pergi kepada semua tempat yang kita dapati memang ramai pekerja-pekerja warga asing ini.
“Aktiviti penguatkuasaan yang biasa, kita akan teruskan. Secara yang kita buat itu, sebab ada tempat-tempat yang kita tidak boleh buat pemeriksaan secara rutin.” tambahnya.
Jelasnya, operasi yang diadakan itu nanti lebih bersifat kemanusiaan dan tidak menimbulkan keresahan, terutamanya bagi mereka-mereka yang mempunyai dokumen yang sah.
“Mereka yang ada dokumen, dia rasa tidak selesa dengan kaedah yang kita laksanakan ini.
“Jadi mereka melihat bahawa kita mengganggu privasi mereka, kita mengganggu mereka tidur dan sebagainya.
“Jadi kita mencari satu pendekatan yang lebih bersifat kemanusiaan dengan kaedah yang kita pergi turun secara rutin.” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.