Tumpuan :
Nasional

Imigresen nafi keluarkan kelulusan khas program RTK 2.0

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) menafikan dakwaan mengeluarkan kelulusan khas bagi pemohon Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK 2.0) yang menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini selepas tarikh 31 Disember 2022 seperti tular di aplikasi WhatsApp.

Sehubungan itu, Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh memohon orang ramai supaya tidak terpedaya dengan taktik penipuan ejen atau orang tengah.

“JIM tidak akan melaksanakan perkara ini kerana ianya melanggar dasar yang telah ditetapkan kerajaan semasa pelancaran program RTK 2.0 pada 27 Januari lalu.

“Dasar adalah jelas bahawa hanya warga asing yang menjadi PATI di negara ini sehingga 31 Disember 2022 sahaja yang layak dan akan dipertimbangkan kelulusan RTK 2.0,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, rakaman suara yang tular di aplikasi WhatsApp itu mendakwa terdapat kelulusan khas akan diberikan hanya kepada 5,000 pemohon yang memasuki negara ini pada tahun 2023.

Mengulas lanjut, Ruslin menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Sila layari portal rasmi dan akaun media sosial rasmi JIM untuk mendapatkan maklumat tepat serta terkini berkaitan jabatan ini,” katanya.

Loading...
Terkini