comscore
Tumpuan :
Nasional

Imigresen kaji lanjutan tempoh sah laku pasport 10 tahun

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang melaksanakan kajian mengenai pelanjutan tempoh sah laku Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) kepada 10 tahun berbanding lima tahun ketika ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kajian memanjangkan tempoh itu susulan beberapa negara ASEAN sudah memperkenalkannya, selain hasil maklum balas orang awam dan pemegang taruh.

“Ia (tempoh sah laku pasport 10 tahun) sudah diamalkan dalam kalangan negara ASEAN seperti Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura. Begitu juga dengan Itali, Perancis, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

“Saya percaya (kajian) dalam tempoh yang munasabah untuk hasil kajian diperolehi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Pejabat Pasport Shaftbury Putrajaya, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh.

Ditanya sama ada hasil kajian akan dibawa ke Kabinet untuk kelulusan, Saifuddin berkata, satu keputusan dasar akan dibuat mengenai pelanjutan tempoh sah laku PMA.

“Ia akan ada keputusan dasar tapi kita mulakan dulu aspek kajian sebelum kita memperolehi keputusan dasar,” katanya.

Sebelum ini, Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) mengesyorkan tempoh sah laku PMA ditambah daripada lima kepada 10 tahun dengan kadar bayaran sewajarnya.

Presiden KPISM, Ajeet Singh Gurbax Singh dilaporkan berkata, lebih 100 negara di dunia sudah berkata lebih 100 negara di dunia sudah memperkenalkan pasport antarabangsa yang mana tempoh sah lakunya adalah 10 tahun.

“Buku pasport dengan muka surat sedia ada boleh digunakan, tetapi hanya tambah tempoh sah laku saja. Perkara ini akan menjimatkan kos kerajaan disamping menambah hasil negara. PMA sedia ada untuk tempoh lima tahun dikekalkan dan rakyat mempunyai pilihan,” katanya dalam kenyataan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini