Oleh: Safwan Sawi
LAHAD DATU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang 13 tahanan warga Filipina dalam Operasi Pemindahan Tahanan ke Negara Asal Bilang Satu 2025, semalam.
JIM Sabah dalam satu kenyataan berkata, penghantaran pulang itu dilakukan melalui Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu.
Kesemua mereka yang ditahan di Depot Imigresen Tawau itu dipindah menggunakan pengangkutan laut feri MV Ming Hai Express ke Pelabuhan Bongao, Filipina.
“Operasi Pemindahan Tahanan ke Negara Asal Bilangan 1 Tahun 2025 kategori usir melalui laut telah dilaksanakan untuk 13 orang warganegara Filipina yang terdiri daripada tujuh orang lelaki dewasa, dua orang perempuan dewasa dan empat orang kanak-kanak lelaki.
“Kesemua tahanan kanak-kanak balik ke negara asal dengan diiringi oleh ibu dan bapa atau penjaga yang sah,” menurut kenyataan itu, di sini, hari ini .
Tambahnya, semua tahanan asing balik ke negara asal atas program pembiayaan sendiri dan kos pengangkutan feri adalah termasuk caj pengangkutan bas bermula dari Tawau ke Lahad Datu.
Kos pengangkutan adalah termasuk caj pengangkutan bas bermula dari lokasi Tawau ke Lahad Datu berjumlah RM370 untuk penumpang dewasa, RM205 untuk penumpang kanak-kanak berumur 5 tahun ke 13 tahun dan percuma bagi penumpang kanak-kanak berumur 4 tahun dan ke bawah.
Operasi pemindahan tahanan asing ke negara asal dari semasa ke semasa adalah tertakluk kepada pengeluaran segera dan berterusan Travel Document oleh pihak Kedutaan Republik Filipina di Malaysia yang merupakan elemen penting bagi mempercepatkan proses pemindahan tahanan ke negara asal.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.