comscore
Tumpuan :
Nasional

Imigresen gempur premis perniagaan dan kediaman, 15 PATI termasuk 4 kanak-kanak ditahan

Pegawai penguat kuasa Imigresen negeri menyiasat seorang warga asing bersama tiga anaknya dalam operasi di Besut, semalam. – FOTO: NSTP/Ihsan Imigresen Terengganu.

KUALA TERENGGANU: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) negeri menahan 15 pendatang asing tanpa izin (PATI), selepas menggempur sembilan premis perniagaan dan kediaman warga asing di daerah Setiu dan Besut, semalam.

Timbalan Pengarah Imigresen negeri (Kawalan), Mat Amin Hassan berkata, turut ditahan dalam Ops Sapu dan Selera itu adalah empat kanak-kanak, termasuk tiga beradik berusia di antara dua dan tiga tahun serta seorang bayi perempuan berusia 10 bulan.

Katanya, tiga kanak-kanak yang ditahan itu adalah warga Indonesia, manakala bayi perempuan warga Myanmar.

“Dalam operasi yang diadakan di sembilan kediaman dan premis perniagaan bermula kira-kira jam 8 malam tadi dan berakhir jam 6 pagi ini, kami menahan seramai 32 warga asing.

“Selepas pemeriksaan, kami dapati 15 warga asing termasuk tiga kanak-kanak dan bayi tiada dokumen perjalanan yang sah, melakukan kesalahan tinggal lebih masa serta menyalah guna pas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mat Amin berkata, PATI yang ditahan adalah tujuh warga Indonesia, Myanmar (lima) dan tiga Thailand, termasuk tiga kanak dan bayi perempuan.

“PATI berkenaan dihantar ke depoh Imigresen Ajil untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959 dan Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mat Amin berkata, seramai 877 PATI dan 22 majikan dan pemilik premis ditahan dalam 494 operasi yang diadakan di seluruh negeri tahun ini.

“Dalam operasi penguatkuasaan yang diadakan sehingga semalam, kami menahan seramai 4,733 warga asing dan selepas pemeriksaan dilakukan, seramai 877 warga asing dikesan melakukan kesalahan undang-undang dan peraturan Imigresen,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini