comscore
Tumpuan :
Nasional

Imej kesan tembakan peluru di Kompleks Petronas Sudan didedah

Kesan terbakar di bawah bumbung Kompleks PETRONAS Sudan di Khartoum. (kanan) lubang bekas bedilan peluru di bangunan berkenaan. – FOTO: Ihsan Zim Rosli

KUALA LUMPUR: Imej kerosakan akibat kesan tembakan peluru di bangunan kompleks Petronas yang turut menempatkan pejabat kedutaan Malaysia di Khartoum didedahkan.

Bangunan yang menjadi pusat operasi Petronas Sudan ini terletak dalam lokasi pertempuran sengit di Sudan yang sedang dilanda konflik.

Satu daripada rakaman foto menunjukkan terdapat sekurang-kurangnya 12 lubang akibat bedilan peluru pada bangunan itu.

Imej pada jarak dekat menunjukkan lubang besar, berkemungkinan daripada tembakan peluru berkaliber tinggi.

Sebuah lagi foto menunjukkan kesan terbakar di bahagian bawah bumbung. Ia difahamkan berpunca daripada peluru mortar.

Satu lagi rakaman foto menunjukkan serpihan kaca dan batu dalam kompleks itu.

Imej berkenaan turut mengesahkan laporan awal bahawa sejurus selepas pertempuran meletus antara Angkatan Bersenjata Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF), kompleks itu telah diambil alih oleh tentera.

Jumaat lalu, Duta Besar Malaysia ke Sudan, Mohamad Razdan Jamil berkata, tembakan mortar dan serangan udara melanda sekitar pangsapurinya yang terletak di Kompleks Petronas Sudan, di Khartoum.

Duta Besar Malaysia ke Sudan, Mohamad Razdan Jamil. – FOTO: NSTP

Pada 16 April lalu, media melaporkan 12 orang rakyat Malaysia terperangkap dalam kompleks itu apabila pertempuran senjata meletus.

Sementara itu Khamis lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, rakyat Malaysia telah dipindahkan dari kompleks itu sejurus selepas premis itu ditawan.

Beliau berkata, kompleks itu digunakan sebagai pos pemerhatian bagi memantau pergerakan tentera kerajaan.

Tambahnya, kompleks itu terkena peluru sesat yang menembusi tingkap, pada hari pertama sambutan Aidilfitri.

Kesan serpihan batu dan cermin dalam Kompleks PETRONAS Sudan.

“Kini Kompleks Petronas menjadi sasaran. Buat masa ini, operasi kedutaan (Malaysia) di sana digantung dan (perkhidmatan konsular dan diplomatik) akan diambil alih oleh kedutaan di Kaherah.

“Kami masih belum memeriksa keadaan bangunan dan menilai kerosakan,” katanya.

Loading...
Terkini