Tumpuan :
Nasional

IMCT tahun ini kurang menarik sambutan peserta tempatan ke Tasik Kenyir

IMCT kali ini membuka penyertaan kepada pemancing dari lapan negara.

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

HULU TERENGGANU: Penganjuran International Monsoon Casting Tournament (IMCT) yang berlangsung di Tasik Kenyir, di sini, hari ini, kurang mendapat sambutan dari peserta tempatan.

Sebelum ini, program yang digazetkan di dalam kelandar pelancongan negeri itu dikenali sebagai Asian Monsoon Casting Tournament (AMCT) yang berjaya menarik minat pemancing dari negara Asia bersaing dengan pemancing tempatan.

 

Hanya 260 peserta dalam dan luar negara menyertai program itu tahun ini berbanding hampir seribu peserta pada tahun lalu.

IMCT kali ini membuka penyertaan kepada pemancing dari lapan negara.

Antaranya, Korea, Thailand, Singapura, Indonesia, Jepun dan terdapat pemancing tunggal dari Amerika Syarikat (AS) mengambil bahagian untuk menjinakkan spesis ikan air tawar di tasik itu.

IMCT dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Zawawi Ismail yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong.

Ketika berucap di majlis perasmian, Zawawi berkata, pihak berwajib perlu lebih agresif menganjurkan lebih banyak program di Tasik Kenyir kerana program dan aktiviti di tasik itu agak suram dan perlahan tahun ini.

“Kurang penyertaan tahun ni, harap selepas ni perlu tambah baik dan pihak penganjur dapat tambah baik serta perbanyakkan program di sini”, katanya.

Turut hadir di majlis perasmian IMCT, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Mohd Azizul Arif Yahaya.

Dalam perkembangan lain, penganjuran IMCT turut menjana ekonomi pemain industri terutama pengusaha rumah bot.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini