KUALA LUMPUR: Pemergian yang dicemburui – Demikian gambaran mengenai seorang Imam yang pergi menemui Yang Maha Pencipta dalam satu kemalangan jalan raya selepas memimpin solat Jumaat.
Allahyarham Sulaiman Sutar maut selepas kereta dipandunya terbabas dan bertembung dengan sebuah kenderaan lain.
Kejadian dilapor berlaku kira-kira jam 2.30 petang selepas mangsa, 75, dalam perjalanan pulang dari arah Machap menghala Simpang Renggam di Johor, sebaik selesai memimpin solat Jumaat di Masjid Kampung Ulu Benut di Kluang.
Berdasarkan perkongsian pengguna Facebook dengan akaun FikriAfiq Marjuki, Allahyarham Sulaiman digambarkan sebagai seorang jurunikah yang disegani dan disenangi oleh masyarakat.
“Allahyarham terlibat dengan kemalangan jalan raya selepas pulang mengimamkan solat jumaat di Masjid Kampung Ulu Benut. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian.
“Allahyarham diurus di unit forensik Hospital Kluang oleh petugas dari Pejabat Agama Daerah Kluang,” katanya sambil memaklumkan beliau bersama pasukannya membantu membawa pulang jenazah ke kampung halaman untuk disolat dan dikebumi di Tanah Perkuburan Sungai Berumbung.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh memaklumkan kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang memandu kereta jenis Proton Iswara dalam perjalanan dari Machap menghala Simpang Renggam.
“Kereta dipandu warga emas terbabit hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung sebuah kenderaan jenis Hyundai Staria.
“Mangsa yang cedera parah pada kepala serta badan meninggal dunia di lokasi,” katanya melalui kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.