Tumpuan :
Nasional

Imam masjid mengaku tidak bersalah terima rasuah urus pasangan bernikah di Thailand

Imam masjid, Mohd Isa Abdul Karim, 53, (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini atas tujuh pertuduhan menerima suapan sebanyak RM26,300 sebagai dorongan upah menguruskan pendaftaran pasangan yang bernikah di Thailand di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) sejak 2022 lalu. – Foto: NSTP

KANGAR: Seorang imam masjid di daerah Kangar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tujuh pertuduhan menerima suapan sebanyak RM26,300 sebagai dorongan upah menguruskan pendaftaran pasangan yang bernikah di Thailand di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) sejak 2022 lalu.

Tertuduh, Mohd Isa Abdul Karim, 53 mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, Mohd Isa secara rasuah menerima daripada ejen untuk dirinya suatu suapan iaitu wang berjumlah RM26,300 melalui akaun sebuah bank milik ABM Success Empire sebagai upah untuk memproses Pendaftaran Perkahwinan Luar Negara di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) ke atas tujuh pasangan yang tidak mengikut prosedur mengikut Enakmen 7 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2006.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan antara 5 Disember 2022 hingga 24 Oktober 2023 di sebuah bank di Jalan Besar, Pekan Kuala Perlis.

Oleh hal demikian, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilaksanakan oleh pegawai pendakwa SPRM Perlis, S Sujatha manakala tertuduh diwakili peguam Ariff Azami Hussein,  Zuhair Ahmad Zakuan dan Mohamad Alif Farhan  Mohamad Supian.

Sujatha dalam permohonanannya meminta mahkamah memberikan tertuduh jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin warga tempatan termasuk pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Permohonan pihak pendakwaan itu diminta disebabkan tertuduh mempunyai seorang isteri warga Thailand dan terdapat potensi tertuduh boleh berada di luar negara ketika prosiding perbicaraan akan dijalankan selepas ini.

Selain itu, Sujatha juga memohon mahkamah agar memerintahkan tertuduh untuk melapor diri di Pejabat SPRM Perlis sebelum atau pada 15 haribulan setiap bulan.

Namun, permohonan itu dibantah oleh Ariff Azami yang memohon mahkamah agar meringankan wang jaminan anak guamnya kepada RM10,000 sahaja disebabkan jumlah wang jaminan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan tidak munasabah memandangkan jumlah dakwaan suapan anak guamnya tidak mencecah hingga RM30,000.

Ariff Azami juga merayu kepada mahkamah agar mempertimbangkan jumlah wang jaminan anak guamnya berkenaan disebabkan tertuduh menanggung seorang isteri dan sembilan orang anak dimana enam daripadanya masih lagi bersekolah.

Selain itu, Ariff Azami menyatakan tiada keperluan untuk pasport anak guamnya diserahkan kepada mahkamah memandangkan anak guamnya tidak pernah terlepas melaporkan diri di Pejabat SPRM Perlis sejak tahun lalu.

Datuk Nu’aman kemudian membenarkan rayuan peguam tertuduh agar diberi jaminan sebanyak RM10,000 namun mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsanya ke mahkamah selain harus melaporkan diri di Pejabat SPRM Perlis sebelum atau pada 15 haribulan pada setiap bulan.

Tertuduh kemudian membayar wang jaminan diwakili siak masjid tempat tertuduh bertugas.

Pada 13 Jun tahun lalu, media melaporkan seorang pegawai kanan JAIPs dan imam sebuah masjid di Kangar ditahan SPRM Perlis pada 5 Jun lalu bagi membantu siasatan kes penerimaan suapan berjumlah RM1.183 juta dalam pengurusan pendaftaran pernikahan di negeri ini sejak April 2022 hingga Jun 2023.

Selain kedua-dua suspek, seorang lagi individu turut ditahan ialah anak imam masjid terbabit yang merupakan pemilik syarikat perunding dalam urusan pernikahan di Perlis.

Hasil siasatan SPRM mendapati setiap permohonan nikah, terutama untuk pasangan yang bernikah di Thailand dan mahu mendaftarkan pernikahan itu di negara ini, dipercayai akan berhubung dengan syarikat berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini