Tumpuan :
Nasional

Imam masjid maut, kereta terbabas

Nurul Kamal yang juga Imam Masjid As-Siddiq, Seri Iskandar maut selepas Perodua Kembara dipandunya terbabas di KM 211.8 Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) arah Utara, dekat Sitiawan, hari ini. – Foto ihsan Bomba

MANJUNG: Imam masjid maut selepas Perodua Kembara dipandunya terbabas di KM 211.8 Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) arah Utara, dekat Sitiawan, di sini, petang tadi.

Mangsa Nurul Kamal Zulkarnain, 37, bertugas sebagai Imam Masjid As-Siddiq, Seri Iskandar dan Guru Takmir Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Seri Iskandar.

Difahamkan, isteri mangsa baru melahirkan cahaya mata di Hospital Seri Manjung, semalam.

Kemalangan terbabit berlaku selepas mangsa melawat isterinya di hospital dan dalam perjalanan pulang ke Seri Iskandar untuk menjemput anak yang lain di sekolah.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.35 petang.

“Kemalangan membabitkan sebuah Perodua Kembara terbabas ke kawasan ladang kelapa sawit di tepi Lebuhraya WCE.

“Terdapat seorang mangsa lelaki tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas dan mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini