KOTA BHARU: Seorang imam akur apabila ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam sekatan jalan raya malam tadi kerana tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.
Lelaki berusia 43 tahun itu ditahan ketika operasi khas bersepadu sempena Aidiladha di hadapan Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, Wilayah Timur, di sini, malam tadi.
Dia yang ditemani isteri berkata, mereka dalam perjalanan pulang dari sebuah pasar raya di sini, bagi membeli peralatan mencetak teks khutbah untuk dibacakan pada Aidiladha nanti.
“Memang sudah dua tahun cukai jalan kereta ini mati dan biasanya saya pandu siang hari saja dalam keadaan berjaga-jaga, tapi tak sangka malam ini (tadi) nasib tidak menyebelahi kami.
“Saya pun sedang berkira-kira untuk mengambil lesen kenderaan tapi belum sempat kerana kekangan masa tapi apabila terjadi begini (disaman), InsyaAllah akan saya usahakan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.
Dalam operasi bersepadu yang turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu, sebanyak 102 notis saman pelbagai kesalahan dikeluarkan dengan 24 kenderaan disita.
Operasi yang bermula jam 8 hingga 11 malam itu turut dihadiri Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan dengan diiringi Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah.
Seorang lagi yang ditahan dalam operasi itu ialah lelaki Rohingya berusia 33 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC yang kononnya ingin membeli ubat untuk anaknya yang sakit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.