Oleh: Kumaran Rajamoney
SLIM RIVER: Jambatan Bailey di jalan yang menghubungkan Slim River dan Behrang Hulu di sini, hanya boleh dilalui kenderaan dengan berat di bawah 10 tan apabila siap dibina menjelang 16 September ini.
Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Muallim, Ir. Yussaime Ahmad Yusuf berkata had berat kenderaan itu ditetapkan berikutan laluan yang dibina bagi jambatan Bailey itu tidak sesuai bagi kenderaan berat.
“Kerja pembersihan sisa runtuhan jambatan lama, serta kayu kayan hanyut pasca kejadian telah dilakukan, dan siap sepenuhnya.
“Kita juga sudah melakukan kerja pemindahan tiang milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM) bagi memudahkan laluan dibuka untuk tujuan pembinaan jambatan Bailey.”
“Kita sedang melakukan kerja-kerja pembinaan tapak sehingga tengah malam, setiap hari bagi memastikan pembinaan jambatan bailey itu dapat dijalankan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.
Yussaime menambah, jambatan Bailey itu dibina 30 meter panjang, dan 7.4 meter lebar dengan laluan dua arah.
Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pasir, Jamaludin Hashim menyifatkan pembinaan jambatan itu penting dalam memudahkan urusan penduduk di situ.
“Ramai anak muda dari kampung disini bekerja di Tanjung Malim. Ketika ini mereka terpaksa menggunakan laluan yang memakan masa sehingga 45 minit, berbanding hanya 15 minit sebelum ini.”
“Pembinaan jambatan ini bukan hanya memendekkan masa perjalanan, tetapi juga memberikan kelegaan kepada ibubapa kerana laluan ini lebih selamat tanpa banyak kenderaan,” katanya.
Untuk rekod, jambatan Bailley itu bagi menggantikan Jambatan Lama Sungai Slim yang runtuh akibat kejadian kepala air pada 23 Ogos lepas.
Kejadian itu mengakibatkan tiga runtuhan jambatan yang dilalui oleh air daripada sungai tersebut sehingga menyebabkan laluan utama terputus yang menghubungkan kampung-kampung terlibat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.