KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuching berjaya merampas rokok dan minuman keras bernilai RM2.4 juta di sini, Selasa lalu.
Rampasan itu dibuat selepas penyeludup yang memandu lori cuba mengaburi pihak berkuasa ketika tiba pelabuhan.
Bagaimanapun, anggota dari Unit Marin mengesan sesuatu yang agak mencurigakan dan bertindak mengekori lori berkenaan sebaik keluar dari gudang transit di pelabuhan.
Pasukan terbabit kemudiannya berjaya memintas lori berkenaan ketika melalui Jalan Kuching-Samarahan Ekspressway kira-kira jam 2 petang.
Pengarah JKDM Sarawak, Norizan Yahya berkata, pemeriksaan dijalankan untuk mengenal pasti muatan sebenar lori berkenaan.
“Sebaik bahagian kargo dibuka, JKDM menemui sejumlah rokok dan minuman keras diangkut di dalam kargo lori sejuk beku itu.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, lori sejuk beku itu mengangkut 3.4 juta batang rokok pelbagai jenama serta 2,376 liter minuman keras yang tidak berkastam,” katanya pada sidang media di Stor Bahagian Penguatkuasaan JKDM di Sejingkat Industrial Park, Jalan Demak Laut, di sini, hari ini.
Norizan berkata, nilai rokok dan minuman keras yang dirampas dianggarkan sebanyak RM2.4 juta beserta cukai manakala lori yang turut disita bernilai RM70,000 menjadikan keseluruhan rampasan bernilai RM3.15 juta.
“Pemandu lori berkenaan iaitu lelaki berusia 40-an ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Menurutnya lagi, JKDM sedang mengesan pemilik barangan berkenaan yang dipercayai cuba dihantar ke luar Kuching.
“Semua barangan yang dirampas itu berasal dari negara jiran dan Kuching dijadikan transit sebelum dihantar ke lokasi lain di Sarawak,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.