Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup dadah jenis methamphetamine lebih 81 kilogram (kg) bernilai lebih RM2.6 juta ke Kota Kinabalu, Sabah menggunakan perkhidmatan mod udara.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, modus operandi adalah mengikrar barang dagangan dengan maklumat yang tidak sahih dan butiran dagangan diikrar sebagai alat tulis bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa.
“Bahagian Penguatkuasaan Zon Tengah, Unit III (LTAKL), pada 17 Disember 2024 jam lebih kurang 10.15 pagi, pasukan operasi telah mengesan objek yang mencurigakan di dalam empat kotak ‘parcel’ (bungkusan) melalui mesin pengimbas di sebuah Cargo Terminal Operator di Zon Perdagangan Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Selanjutnya, pasukan operasi Bahagian Penguatkuasaan telah memeriksa empat kotak parcel tersebut dan telah menemukan 80 bungkusan plastik lutsinar yang di dalamnya mengandungi serbuk kristal putih disyaki dadah jenis methaphetamine,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Jelasnya, bungkusan tersebut dihantar seorang pengirim lelaki tempatan yang masih dikesan di hub kurier di Shah Alam, Selangor pada 13 Disember lalu.
Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di hub terbabit mendapati kenderaan jenis Toyota Camry yang digunakan suspek adalah kereta sewa.
“Alamat pengirim adalah atas nama syarikat beralamat di Puchong, Selangor tapi siasatan kita dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dapati syarikat ini tidak wujud. Dan kini siasatan masih diteruskan,” katanya.
Tambahnya, berdasarkan sitaan dadah tersebut, JKDM menganggarkan lebih 406,700 orang dapat diselamatkan daripada penyalahgunaan dadah.
Mengulas lanjut, Norlela berkata, rampasan itu adalah yang terbesar menggunakan perkhidmatan mod pos dan kurier.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sabit kesalahan akan dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan akan dijatuhkan hukuman sebat tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.