Tumpuan :
Nasional

Ikatan tali rumah rakit antara punca tebing Sungai Kelantan runtuh

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan meninjau lokasi runtuhan sepanjang 50 meter yang berlaku di tebing Sungai Kelantan di Jalan Post Office Lama bersama pihak berkaitan. – FOTO NSTP/ Ihsan Facebook Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan

KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan memastikan semua pemilik rumah rakit yang beroperasi di tebing Sungai Kelantan mendapat kebenaran susulan runtuhan tebing yang berlaku di Jalan Post Office Lama, kelmarin.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, tali yang diguna dan diikat pada rumah rakit antara faktor yang menyebabkan berlakunya runtuhan tebing.

“Perkara ini perlu diambil kira bagi mengelakkan kejadian sebegini berulang lagi pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan MABNA, Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri mengisytiharkan kejadian tebing runtuh yang berlaku itu sebagai bencana.

“Kita perlu memastikan keselamatan di sekitar kawasan tebing runtuh kerana terdapat pembangunan seperti hotel selain bangunan kedai dan pada masa lokasi itu juga menjadi tumpuan pelancong.

“Baik pulih perlu dilakukan dengan segera melalui kerjasama dengan Kementerian Ekonomi kerana bimbang akan berlaku runtuhan di kawasan lain selepas ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Fadzli berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan juga sedang membuat kajian tanah di kawasan tebing Sungai Kelantan yang runtuh kerana dikhuatiri ada pergerakan baru sehingga mengancam keselamatan orang awam.

“Perkara ini dimaklumkan oleh pihak JPS berdasarkan laporan awal yang dilakukan di lokasi kejadian,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, satu runtuhan sepanjang hampir 50 meter dikesan di tebing Sungai Kelantan, Isnin lalu.

Runtuhan itu menyebabkan laluan pejalan kaki dan rekreasi turut runtuh pada ketinggian hampir 10 meter.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini