PETALING JAYA: Tahukah anda terdapat ikan lumba-lumba di perairan Malaysia?
Sebenarnya masih ramai lagi rakyat di negara ini yang tidak mengetahui tentang kewujudan ikan lumba-lumba atau dolphin yang menjadikan perairan negara sebagai habitat.
Indo-Pacific Humpback atau lumba-lumba Bala, Irrawaddy dan Finless Porpoise adalah antara tiga spesies ikan lumba-lumba yang sering ditemui di perairan barat Semenanjung termasuklah di Pulau Langkawi.
Malah, Kesatuan Antarabangsa Untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) turut mengiktiraf perairan di sekitar Langkawi sebagai Kawasan Mamalia Marin Penting (IMMA).
Pengiktirafan ini bukan sahaja menandakan perairan Langkawi mempunyai nilai ekologi yang tinggi, malah turut bermakna ia menjadi lokasi kritikal sebagai habitat utama bagi pelbagai spesies mamalia marin termasuklah ikan lumba-lumba.
Sama seperti ikan paus, ikan lumba-lumba juga merupakan sejenis mamalia marin yang bernafas menggunakan paru-paru seperti manusia.
Selain itu, interaksi ikan lumba-lumba dengan manusia juga banyak direkodkan dalam filem dan dokumentari kerana haiwan ini dikatakan mempunyai tahap kepintaran yang tinggi.
Malangnya, ikan comel dan bijak ini berada di ambang kepupusan walaupun segala aktiviti penangkapan haiwan ini telah diharamkan di Malaysia.
Jika dahulu, kelangsungan hidup atau survival ikan lumba-lumba ini diancam oleh aktiviti ritual sesetengah komuniti laut.
Kini, pencemaran dan kegiatan manusia yang tidak terkawal menjadi ancaman baharu buat haiwan ini.
Menurut pengasas Pertubuhan Penyelidikan MareCet (MareCet), Dr Louisa, iaitu badan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan aktiviti penyelidikan dan pemuliharaan mamalia marin di Malaysia, ikan lumba-lumba merupakan spesies indikator di laut.
“Mamalia marin ini adalah spesies indikator, spesies penanda untuk kesejahteraan dan kesihatan laut.
“Bila dolphin itu dah hilang, maka kita pun perlu risau apa yang terjadi” katanya lagi.
Di Malaysia, ikan lumba-lumba kini tergolong dalam kalangan spesies haiwan marin yang terancam.
Pada masa sama, ia memainkan peranan yang sangat penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem di dalam laut.
Namun, jika spesies haiwan ini tidak dipelihara, ia berdepan dengan ancaman kepupusan, sekali gus berisiko lenyap dari perairan negara.
Untuk mengetahui lebih lanjut episod ‘Ikan Lumba-Lumba’, saksikan Majalah 3 pada jam 9 malam ini di TV3.
Langgan TontonUp untuk eksklusif episod penuh Majalah 3 di Tonton.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.