comscore
Tumpuan :
Nasional

IJN perkenal peranti Navitor bagi rawatan stenosis aorta

Bangunan IJN di ibu negara. Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Institut Jantung Negara (IJN) hari ini memperkenalkan teknologi baharu yang dinamakan ‘Navitor’ bagi rawatan stenosis aorta, penyakit injap jantung yang lazimnya berlaku dalam kalangan warga emas.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr. Aizai Azan Abdul Rahim berkata Navitor adalah prosedur baru menggunakan peranti terkini untuk mengimplantasi injap aorta transcatheter (TAVI).

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Mesyuarat Utama IJN, di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr. Aizai Azan Abdul Rahim

Turut hadir, Perunding Kardiologi IJN, Datuk Dr. Shaiful Azmi Yahaya.

Mengulas lanjut, Datuk Dr. Aizai berkata Navitor menyasarkan untuk menambah baik prosedur TAVI sedia ada dengan mengurangkan risiko kebocoran darah di sekitar injap yang diimplan.

“Tidak seperti pembedahan jantung terbuka tradisional, TAVI menawarkan alternatif invasif minimum dengan kadar pemulihan yang lebih cepat dan mengurangkan kesakitan.

Prosedur itu membabitkan injap gantian yang dimasukan melalui kateter, yang diulirkan melalui hirisan kecil di pangkal paha melalui arteri femoral.

Perunding Kardiologi IJN, Datuk Dr. Shaiful Azmi Yahaya

“Pada 12 Mei lalu, dua pesakit sudahpun menjalani prosedur Navitor TAVI menjadikan IJN penyedia penjagaan kesihatan pertama di Malaysia yang berjaya melakukan rawatan inovatif ini,” katanya.

Sementara itu menurut Datuk Dr. Shaiful Azmi reka bentuk unik Navitor memfokuskan pada ketepatan dan rawatan pesakit yang lebih baik.

Beliau berkata ciri-ciri canggih Navitor membolehkan doktor mempunyai akses yang lebih baik kepada pesakit, terutamanya golongan yang lebih muda dengan risiko sederhana dan rendah yang mungkin memerlukan campur tangan koronari masa depan.

“Peranti Navitor didatangkan dengan profil kecil membolehkan doktor menggunakan saluran darah yang lebih kecil untuk akses, berukuran 5 milimeter (mm) dan ke atas.

“Pada masa ini, IJN menawarkan empat jenis sistem TAVI yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan khusus pesakit stenosis aorta,” katanya.

Loading...
Terkini