Tumpuan :
Nasional

IIM, UiTM jalin kerjasama bangunkan Indeks Integriti Malaysia

InTeam dijangka memberikan manfaat menyeluruh dan menjadi mekanisme penting untuk menilai keberkesanan dasar sedia ada.

CYBERJAYA: Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi menjalinkan kerjasama strategik dalam pembangunan Kajian Indeks Integriti Malaysia (InTeM).

Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Rahman Mohd Din berkata MoA itu bukan sekadar kerjasama akademik tetapi merupakan langkah proaktif memastikan integriti kekal sebagai teras kemajuan negara.

“Indeks Integriti Malaysia akan berfungsi sebagai penanda aras kepada sektor awam, swasta, dan masyarakat dalam menilai serta memperbaiki amalan integriti masing-masing,” katanya.

Selain itu, Menurut IIM, pembangunan InTeM bertujuan menyediakan instrumen penting untuk mengukur tahap pematuhan prinsip integriti di pelbagai sektor di Malaysia.

“Indeks itu akan memberi gambaran jelas dan komprehensif mengenai keberkesanan dasar-dasar sedia ada serta mengenal pasti ruang untuk penambahbaikan ke arah ketelusan dan akauntabiliti.

“Usaha ini juga selaras dengan inisiatif dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12), Bab 2, yang menekankan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Indeks itu dijangka memberikan manfaat menyeluruh dan menjadi mekanisme penting untuk menilai keberkesanan dasar sedia ada, membantu sektor swasta meningkatkan keyakinan pelabur, serta memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap pentingnya integriti dalam pembangunan sosioekonomi negara.

Majlis menandatangani MoA itu turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Ts. Dr. Norazah Abd Rahman, Ketua Pegawai Sektor Operasi IIM, Izal Arif Zahrudin, Ketua Penyelidik Kajian InTeM, Prof. Dr. Yarina Ahmad, Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Profesor Madya Dr. Nor Hafizah Mohamed Harith.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini