comscore
Tumpuan :
Nasional

IFCEM 2024 tumpu garis panduan pemasangan solar di bumbung premis

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad bersama Naib Presiden, Modal Insan dan Pentadbir Proton, Amran Mohd Tomin, di Putrajaya hari ini.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Garis panduan pemasangan solar fotovoltaik di rumah dan premis bangunan antara fokus utama International Fire Conference And Exhibition Malaysia (IFCEM) 2024 yang bakal berlangsung pada 22 hingga 24 Oktober ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, ia berikutan cabaran kini yang dihadapi pasukan penyelamat ketika melaksanakan operasi penyelamatan.

“Solar yang letak atas bumbung rumah atau bangunan itu, kita tengok bagaimana kawalan dibuat antara negara-negara lain supaya dapat kita kongsi dan dapat keluarkan satu peraturan atau mungkin garis panduan sedia ada kita tambah baik supaya dia agak seragam dalam kalangan negara-negara Asia.

“Antara cabaran bila pasang solar apabila kita (pasukan penyelamat) nak buat pengudaraan (kerana kebakaran atau bencana) daripada bumbung sebab ia menjadi satu halangan.

“Maksudnya dulu kita boleh senang masuk, naik (bumbung) dan tebuk tapi sekarang bila ada ini (panel solar), ia menjadi satu halangan kepada kita, jadi kita perlu ada akses dan had saiz panel solar itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima 30 kereta jenama Proton bagi kegunaan sepanjang IFCEM 2024 daripada Naib Presiden, Modal Insan dan Pentadbir Proton, Amran Mohd Tomin, di sini hari ini.

Selain itu, fokus IFCEM 2024 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) adalah perkongsian mengenai amalan terbaik dalam pusat data dan kenderaan elektrik (EV) di luar negara.

Mengulas lanjut, menurut Nor Hisham, persidangan kali ke-5 tersebut akan dihadiri pakar dan profesional dari pelbagai negara dalam bidang keselamatan kebakaran dan pengurusan bencana.

“Berdasarkan maklum balas diterima, kita dijangka menerima tetamu terutama ketua-ketua bomba daripada 21 negara.

“Kita juga menerima penyertaan daripada pihak antarabangsa iaitu seramai 73 peserta selain peserta tempatan seramai 2,150 orang. Ia melebihi sasaran kita iaitu 1,800 penyertaan.

“Dari segi pempamer juga, ia merekodkan sejarah terbaik bagi pihak jabatan iaitu kita dapat capai sebanyak 143 reruai pempamer dengan 50 reruai melibatkan pempamer dari China,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini