Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) baharu mulai 25 November lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelantikan itu berkuat kuasa sehingga 24 November 2027 untuk tempoh tiga tahun.
Menurutnya, pelantikan tersebut dibuat di bawah Seksyen 5(1)(a) Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 [Akta 713].
“Berdasarkan pengalaman luas dan kepakaran yang dimiliki, saya yakin pelantikan beliau akan memastikan kesinambungan usaha pemerkasaan peranan MyCC sebagai antara agensi di bawah KPDN.
“Selain itu, saya juga berharap beliau dapat membawa hasrat agenda reformasi kerajaan melalui pindaan Akta Persaingan 2010 [Akta 712] untuk memperkasakan lagi kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan MyCC.
“Ini termasuk memperkenalkan rejim penggabungan dan pengambilalihan untuk menghalang pembentukan awal kartel atau monopoli yang bermasalah,” katanya dalam kenyataan.
Idrus memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya dan pernah menyandang pelbagai jawatan
penting termasuk sebagai Peguam Negara dengan rekod perkhidmatan selama lebih 40 tahun.
Sepanjang kerjaya beliau, Idrus telah berkhidmat sebagai pegawai undang-undang, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Persekutuan, selain dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman pada 1 November lalu.
Mengulas lanjut, menurut Armizan, pelantikan baharu itu adalah bagi mengisi kekosongan jawatan setelah mantan pengerusi iaitu Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berkuat kuasa 3 Julai lalu.
“Saya turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Hishamudin, mantan Pengerusi MyCC atas segala jasa dan sumbangan beliau kepada MyCC dan negara sepanjang tempoh perkhidmatan beliau,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.