MERSING: Identiti pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Mersing-Endau, Kampung Bukit Buruk di sini, tengah hari tadi sudah dikenal pasti.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Mohd Alias Hussin berkata, mangsa Shahrom Tahir, 74, dan Zainab Yusoff, 64, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, seorang lelaki dan wanita dewasa yang menaiki Volkswagen bersama pasangan suami isteri itu turut mengalami kecederaan.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati terdapat kemalangan membabitkan Perodua Alza dan Volkswagen yang terbabas ke dalam anak sungai ditepi jalan terbabit.
“Kesemua mangsa telah dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan PKO termasuk empat individu iaitu lelaki dewasa (selamat), wanita dewasa (cedera), kanak-kanak lelaki (selamat) dan kanak-kanak perempuan (selamat) yang menaiki Perodua Alza.
“Terdapat dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan iaitu warga emas lelaki dan wanita.
“PKO memastikan tiada mangsa yang terperangkap dalam kenderaan dan seterusnya memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera dan menyerahkan mangsa kepada ambulans dan pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.