Oleh: Fazli Ahmad
BENTONG: Identiti pemandu treler yang terbabas ke gaung sedalam 20 meter di Kilometer 42.1, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bukit Tinggi, malam semalam telah dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar memaklumkan mangsa ialah Norazuat Mokhtar, 39, berasal dari Masai, Johor.
Bagaimanapun, identiti kelindan treler yang turut maut dalam nahas itu masih belum dapat disahkan.
“Siasatan awal mendapati treler yang membawa muatan besi buruk itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam gaung di sebelah kiri lebuh raya.
Kenderaan tersebut dalam perjalanan dari Bukit Kemuning, Klang, Selangor ke Kuantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menyeru saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian.
Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Bentong untuk proses bedah siasat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.