Tumpuan :
Nasional

Identiti ‘Mr H’ kekal misteri 

Pengamal media yang berkampung di Balai Polis Presint 11 sejak jam 4.30 petang, menantikan kelibat ‘Mr H’ untuk memberikan keterangan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Hampir lima jam berkampung di Balai Polis Presint 11 di sini, kelibat ‘Mr H’ yang dikaitkan dengan video panggilan lucah membabitkan individu didakwa bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff tidak kelihatan.

Identiti Mr H yang menjadi persoalan sejak tercetus penularan video terbabit kekal misteri.

Dia dikatakan akan diambil keterangan di balai polis berkenaan petang tadi bagi membantu siasatan kes yang dikaitkan dengan Dr Mohammad Agus dan pembantu pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.

Perkara itu turut disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang memaklumkan keterangan Mr H akan diambil di Balai Polis Presint 11, jam 5.30 petang tadi.

Susulan pengesahan tersebut, lebih 20 pengamal media dari pelbagai agensi media tempatan berkampung di lokasi berkenaan bagi menunggu kehadiran Mr H sejak jam 4.30 petang tadi.

Namun, setakat jam 9 malam tadi, kelibat Mr H tidak juga muncul dan difahamkan, keterangan individu terbabit tidak diambil hari ini yang menimbulkan perasaan hampa dalam kalangan pengamal media yang turut mahu mengetahui identiti lelaki itu.

Sumber memberitahu, keterangan Mr H berkemungkinan diambil esok di lokasi berlainan.

Terdahulu, Razarudin berkata, tiga saksi sudah dirakam percakapan setakat ini di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah dan beberapa saksi lain akan diambil keterangan dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan.

Media sebelum ini melaporkan Abdul Wahab mendakwa diarah pegawai atasan yang digelarnya sebagai Mr H untuk merakam perbualan bersama bekas Ketua Pengarah J-KOM itu.

Katanya, dia merakam perbualan video berkenaan, namun isi perbualannya bukan seperti yang tersebar dan tular di media sosial itu.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Latihan dan Pendidikan J-KOM, Muhamad Hakim Ramlee atau dikenali sebagai Ustaz Hakim Ramlee menegaskan, beliau bukan Mr H seperti yang didakwa.

| ARTIKEL BERKAITAN 

Loading...
Terkini