Tumpuan :
Nasional

Identiti kelindan lori maut dalam nahas di Gurun sudah dikenal pasti

FOTO: JBPM

GURUN: Identiti kelindan lori yang maut dalam kemalangan selepas lori yang dinaiki bersama dua rakannya terbabas dan melanggar papan tanda di kiri jalan di Kilometer 77.7 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah selatan petang semalam sudah dikenal pasti.

Mangsa, Mohamad Zulfiqry Zunaidi Abdullah, 20, beralamat dari Senggarang, Johor itu mengalami pelbagai kecederaan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Bagaimanapun, dua lagi rakannya termasuk pemandu lori itu masing-masing berusia 24 dan 33 tahun mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati, lori yang membawa muatan barangan rumah itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Pendang ke Sungai Petani.

Hasil siasatan awal mendapati sewaktu meneruskan perjalanan, lori yang dipandu lelaki berusia 33 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar tiang papan tanda.

“Akibat kemalangan, mangsa yang duduk di bahagian kiri penumpang dipercayai terperangkap dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk proses bedah siasat manakala dua rakannya berjaya keluar dari kenderaan itu dan masing-masing mengalami kecederaan di kepala dan kaki.

“Mereka kemudian dihantar ke Hospital Pendang untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Azharuddin berkata, pemandu lori itu dipercayai berasal dari Serian, Sarawak manakala seorang lagi kelindannya berasal dari Keningau, Sabah.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Buletin TV3 semalam melaporkan, seorang kelindan sebuah lori cedera parah akibat tersepit selepas lori yang dinaikinya terbabas dan melanggar papan tanda di Kilometer 77.7 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, di sini semalam.

Turut cedera dalam kemalangan itu adalah pemandu lori berusia 33 tahun serta seorang lagi kelindan berusia 24 tahun.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fauzi Razali berkata, anggotanya berusaha mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejurus selepas itu.

Difahamkan, kemalangan itu turut menyebabkan kesesakan lebih dua jam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini