Oleh: Fazli Ahmad
PEKAN: Siasatan awal polis mendapati Proton Wira dari arah Rompin ke Kuantan dipercayai hilang kawalan dan memasuki lorong kanan jalan serta bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) menyebabkan lima sekeluarga terbununuh dalam kemalangan di Kilometer 65, Jalan Kuantan-Rompin, kira-kira jam 7 malam tadi, dekat Nenasi, di sini.
Mangsa yang maut ialah pemandu Proton Wira terbabit, Hamzah Zahari, 52, isterinya, Rahimah Awang Muda, 38, dan tiga anak pasangan terbabit, Ainul Mardhiyah, 10, Muhammad Luqman Nur Hakim, 8, dan Muhammad Lutfi, 4.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, semua mangsa berasal dari Kampung Sepauk di Nenasi, dekat sini, meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, pemandu MPV, Wahaid Zakaria, 51, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota, Kuantan serta isteri, Salasiah Abdul Latif, 43, guru Sekolah Kebangsaan Sungai Karangan, Kuantan, cedera dan sedang dirawat di Hospital Rompin.
“Lokasi kejadian jalan selekoh dan ketika kemalangan berlaku cuaca hujan.
“Siasatan mendapati Proton Wira dinaiki lima sekeluarga terbabit terbabas ke lorong kanan dan bertembung dengan MPV dari arah hadapan.
“Akibat kemalangan itu, lima sekeluarga terbabit meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan media.
Mohd Zaidi berkata, mayat lima sekeluarga terbabit dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat.
Nahas terbabit disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.