Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu adalah wajar sekali gus membuktikan kezaliman yang dilakukan mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia bersetuju dengan apa yang diputuskan itu dan mengharapkan tindakan segera dapat diambil.
“Keputusan ICC wajar kerana dia berlandaskan hukum, bukti tentang kezaliman, penindasan, pembunuhan berterusan.
“Jadi kita alu-alukan keputusan itu dan setuju dengan tindakan bahawa kalau ada mana-mana lawatan dia (Netanyahu) keluar harus ditangkap.
“Saya perhatikan ada beberapa negara Eropah yang sudah membuat kenyataan sedemikian,” katanya ketika ditemui media selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Husna Presint 9 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, apa yang ditetapkan ICC itu juga menutup ruang pertikaian sesetengah pihak kerana ia diputuskan berdasarkan bukti.
“Ini suatu pengesahan tentang apa yang berlaku (kezaliman) selama ini yang kadang-kadang dipertikaikan oleh sebahagian orang kerana ICC badan yang memutuskan berdasarkan hukum dan bukti.
“Kemenangan bagi yang menegakkan keadilan dan kemanusiaan. Tentunya membantu meringankan perasaan derita rakyat Palestin dan Gaza,” ujarnya.
Ditanya mengenai kenyataan Amerika Syarikat (AS) yang menolak keputusan itu, kata Perdana Menteri itu adalah pandangan negara berkenaan.
“Itu keputusan Amerika Syarikat, tetapi saya rasakan keputusan dunia sebaliknya.” tegasnya.
Semalam, ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang di Gaza.
“ICC mengeluarkan waran tangkap untuk dua individu, Benjamin Netanyahu dan Yoav Gallant, atas jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang yang dilakukan dari 8 Oktober 2023 hingga 20 Mei 2024, hari pendakwaan memfailkan permohonan waran tangkap,” menurut kenyataan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.