
SUNGAI BULOH: Ibu kepada kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin membuat laporan polis berhubung satu video memaparkan wanita itu berjalan sambil memegang tangan dua anaknya di kawasan parkir motosikal Blok R Apartment Idaman Damansara Damai dekat Petaling Jaya, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, laporan itu diterima Balai Polis Kampung Baru Subang pada 2.43 petang.
Menurutnya, pengadu memaklumkan menerima satu pautan link video TikTok melalui aplikasi WhatsApp yang berdurasi kira-kira seminit pada 6 Mac lalu.
“Dalam pautan berkenaan terdapat rakaman video menunjukkan pengadu sedang berjalan sambil memegang tangan kedua-dua anak iaitu arwah Zayn Rayyan dan Mateen menuju ke kawasan parkir motosikal Blok R apartment berkenaan.
“Pengadu merasakan individu tidak dikenali itu merakam video berkenaan dari kawasan blok Apartment Idaman yang berhadapan dengan Blok R serta rakaman dibuat daripada ketinggian yang menunjukkan perakam berkemungkinan adalah penghuni di salah satu tingkat atas blok berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Hafiz berkata, tujuan pengadu membuat laporan polis kerana merasakan keselamatannya dan keluarga terancam.
“Pengadu juga percaya ini bukan satu kebetulan kerana tidak lama selepas rakaman itu dibuat anaknya, Zayn Rayyan sudah ditemui meninggal dunia dengan jarak lebih kurang 200 meter dari lokasi video dirakam,” katanya.
Katanya, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan terhadap perkara berkenaan dan orang ramai diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta mengelirukan masyarakat.
Terdahulu media melaporkan, pada 7 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.