
KUANTAN: Ibu tunggal, Neng Ayu Astuty Afandi tidak menyangka akan menerima sebuah kereta dari Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu.
Ibu kepada tiga anak berusia antara 11 dan 21 tahun itu berkata dia seperti bermimpi apabila dimaklumkan menerima sebuah kereta Proton Iswara.
Neng Ayu Astuty, dia tidak pernah meminta bantuan daripada sesiapa pun sebelum ini dan pemberian itu ibarat rezeki Ramadan dan Syawal.

“Mungkin kehidupan seharian saya ini dimaklumkan kepada ADUN dan mereka membuat keputusan membelikan saya sebuah kereta yang membuatkan saya terkejut.”
Tambah Neng Ayu Astuty, kereta yang diterimanya itu begitu bermakna kerana ia membantu dan memudahkan beliau dalam urusan penghantaran kuih muih dan kuih raya.
“Ini kerana kebiasaannya saya akan meminjam motosikal untuk menghantar kuih dan adanya kereta ini meringankan beban saya.”
Neng Ayu Astuty ditemui di Taman Impianku, di sini hari ini.
Penyerahan kereta itu disampaikan oleh ADUN Semambu, Chan Chun Kuang yang prihatin dengan nasib yang dialami Neng Ayu Astuty.
Neng Ayu Astuty berkata pendapatan sehariannya tidak menentu dan sepanjang Ramadan ini, dia lebih menumpukan kepada jualan kuih muih dan kuih raya.
Katanya, fokus utamanya ialah untuk membesarkan tiga anak yang masih bersekolah termasuk yang sedang melanjutkan pelajaran di universiti.
“Saya berterima kasih kepada ADUN Semambu yang prihatin dan membantu meringankan beban saya.”
Jelas Neng Ayu Astuty, rumah yang didudukinya sekarang juga ihsan daripada seseorang.
Sementara itu, Chun Kuang berkata pembelian kereta terpakai itu adalah sumbangan daripada Pejabat ADUN Semambu dan berharap Neng Ayu Astuty tidak lagi perlu meminjam motosikal bagi menghantar kuih.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.