Tumpuan :
Nasional

Ibu tunggal tak mengaku salah terima deposit RM581,000 tanpa lesen

Noryani (tengah) mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan kutip deposit RM581,000 tanpa lesen – Foto: NSTP

MELAKA: Seorang ibu tunggal yang dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan menerima deposit pelaburan tanpa lesen yang sah, berjumlah RM581,000 antara Januari 2020 dan September 2021.

Tertuduh, Noryani Abdullah, 56, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Dia didakwa menerima deposit wang pelaburan daripada Fatimah Abdullah, 61, berjumlah RM249,500 yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi tertuduh, untuk tujuan perniagaan pelaburan.

Dia didakwa menerima deposit berkenaan tanpa lesen yang sah mengikut Seksyen 10, Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, di sebuah bank di Jalan Hang Tuah antara 8 Jan 2020 hingga 26 Okt 2020.

Sementara itu, di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam, tertuduh didakwa menerima deposit wang pelaburan daripada mangsa sama, berjumlah RM331,500 yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi tertuduh untuk tujuan perniagaan pelaburan tanpa suatu lesen yang sah.

Ibu kepada enam anak itu dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Jalan Hang Tuah antara 16 Feb 2021 hingga 24 Sept 2021.
Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nur Nadia Mohamed Iqbal dan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin, masing-masing menawarkan jaminan RM30,000 dan RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis.

Bagaimanapun peguam tertuduh, Andrew Lourdes memohon jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh tidak bekerja dan perlu menyara enam  anak, selain menghidap penyakit kencing manis serta darah tinggi.

Sabri kemudian membenarkan ikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin, manakala Darmafikri membenarkan jaminan sebanyak RM20,000.

Loading...
Terkini