BATU PAHAT: Wanita yang melecur dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Baru Sri Gading, Sabtu lalu meninggal dunia malam tadi.
Syarah Masturah Abdullah, 31, disahkan meninggal dunia jam 9.30 malam ketika menerima rawatan di sebuah hospital akibat kecederaan teruk dialaminya.
Ibu kepada tiga anak berusia antara empat hingga tujuh tahun itu sebelum ini ditidurkan ekoran keadaannya yang melecur teruk.
Dalam kejadian jam 4.35 petang, Allahyarham melecur teruk selepas kediamannya terbakar.
Seorang lagi mangsa, lelaki berusia 28 tahun terselamat manakala suami serta tiga anak sempat keluar menyelamatkan diri.
Ibu mangsa, Subidah Tumin, 68, memberitahu pemergian anak perempuannya mengejutkan ahli keluarga mereka.
Katanya pada hari arwah dimasukkan ke hospital, keadaan agak teruk kerana melecur seluruh badan namun tidak menyangka akan pergi buat selama-lamanya.
“Kami reda dengan pemergiannya di bulan mulia, walaupun berat untuk menerima kenyataan,” katanya.
Semalam, Subidah memberitahu anaknya itu dimasukkan ke hospital dan terpaksa ditidurkan.
Difahamkan, ketiga-tiga anak arwah kini dijaga sementara oleh nenek mereka di Parit Yusuf, Parit Sulong.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.