Tumpuan :
Nasional

Ibu tidak sanggup tengok jenazah Muhammad Zaharif  

IPOH: Ibu kepada Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17 yang maut dilanggar kereta berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, di sini, semalam, berkata anaknya sangat meminati bidang permotoran.

Malah, arwah berhasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang itu selepas tamat SPM dan  mahir menyelenggara motosikal kenalannya.

Mimi Julia Ismail, 50, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa anaknya apabila mendengar pelanggan di restorannya bercakap mengenai kemalangan itu.

“Tiada siapa beritahu sebaliknya saya tahu sendiri apabila mendengar pelanggan di restoran kami bercakap mengenai kemalangan menimpa anak saya. Saya pun tak sanggup hendak pergi tengok dia (arwah),” katanya.

Dalam kejadian itu, Muhammad Zaharif Affendi, pelajar tingkatan lima yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta dipandu seorang pegawai kanan polis.

Katanya, lokasi restoran tempat dia sekeluarga berniaga tidak jauh iaitu 100 meter dari tempat kejadian.

“Walaupun dekat malah dari kedai kami pun boleh nampak dari jauh orang ramai berkerumun di lokasi tempat anak saya dilanggar, waktu itu juga ada yang menyampaikan bahawa anak saya yang terbabit kejadian itu namun saya tak mampu hendak pergi ke situ.

“Ketika di rumah mayat (Jabatan Forensik) pun hanya dua anak saya yang lain menguruskan jenazah Zaharif. Saya tengok jenazah (Zaharif) pun sudah tak mampu,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Chepor Sentosa, di sini hari ini.

Katanya, sejak sebulan kebelakangan ini Zaharif ada menunjukkan kelakuan berbeza berbanding kebiasaan termasuk gemar menjamah makanan di waktu tengah malam selain kurang mengunjungi restoran mereka melainkan untuk minta duit belanja sekolah.

Sementara itu, kakak Zaharif, Nur Zawani Muhd Zamrie, 28, berkata, sewaktu kejadian jam 12.30 tengah hari, dia ketika itu ingin menghantar anak-anaknya ke restoran tempat ibu dan bapanya, sebelum ke tempat kerja.

Dia bagaimanapun melihat orang ramai mengerumuni lokasi kejadian.

“Ketika sampai di situ saya lihat Zaharif dalam keadaan dia seperti separa sedar ada bercakap sedikit yang dia kesakitan dan waktu itu juga saya memang ada nampak si pelaku (pemandu kereta) ada di situ dalam kalangan orang ramai.

“Saya orang pertama yang menghubungi ambulans dan ketika itu kedengaran banyak suara mengatakan yang Zaharif sengaja dilanggar namun pada masa itu tumpuan utama saya adalah hanya untuk menyelamatkan nyawa adik.

“Mungkin kerana pada masa itu saya memakai seragam jururawat maka si pelaku (pemandu kereta) tidak menyangka yang saya adalah kakak mangsa lalu menyangka saya sekadar jururawat yang ingin membantu dan kebetulan berada di tempat kejadian.

“Lalu si pelaku saya lihat beredar dari tempat kejadian, dia tidak ada menawarkan sebarang jenis pertolongan termasuk tiada permohonan maaf,” katanya.

Sementara itu, abang mangsa, Zarul Fitri, 29, berkata, keluarganya masih berbincang sama ada untuk melantik peguam bagi bantu menguruskan proses pendakwaan di mahkamah agar keadilan terhadap adiknya dapat ditegakkan.

“Memang kami bercadang hendak melantik peguam tetapi kami masih dalam perbincangan lagi tanpa sebarang keputusan muktamad setakat ini,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini